Wednesday, August 10, 2011

30 Hari Mencari Cinta_NYA .Day 11

PUASA LAGI!!!! BACA JGN TAK BACA

Tanda puasa yang sempurna selain ikhlas kepada Allah ialah reda dan gembira. Tidak merasa berat melakukan ibadat bahkan merasa gembira dengan mengingat janji Allah kepada orang yang berpuasa.

Janji-janji Allah itu dikhabarkan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda antaranya:

Pertama ialah pahala istimewa yang menjadi rahsia Allah disimpan untuk orang yang berpuasa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Allah berfirman:

Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Janji Allah yang kedua, diampun segala dosa seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Ketiga, dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang hamba yang mengerjakan puasa satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjaga dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun kerana puasanya yang sehari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Keempat, imbalan tunai dan kesihatan jasmani. Sebelum pakar kesihatan mengkaji dan menemukan manfaat puasa,

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah nescaya kamu akan sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Kelima, doa yang tidak akan ditolak. Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya.” (Riwayat Ahmad, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Keenam ialah masuk syurga melalui Bab al-Rayyan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat.


Barang siapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Enam ganjaran tadi boleh menjadi pemacu ke arah kesempurnaan puasa. Saat menahan lapar dan dahaga, ketika menghidupkan malam dengan ibadat, membaca al-Quran pada siang hari, bersedekah, bekerja dan menuntut ilmu, ketika zikrullah tidak terlucut dari hati dan lisan, ingatlah enam ganjaran ini.

Puasa itu memberi kesan kepada keperibadian.

Selepas seseorang itu bersusah payah mengawal hawa nafsunya sepanjang Ramadan, tetapi ketika berakhirnya Ramadan dia kembali menjadi orang panas baran, tamak, rakus dan gelojoh maknanya puasanya itu tidak memberi kesan kepada keperibadiannya. Dia tidak mencapai matlamat ditetapkan al-Quran.

Hal ini dijelaskan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.”

(Surah al-Baqarah, ayat 183)


Matlamat akhir ibadat puasa ialah mendapatkan bekalan takwa yang cukup untuk menjalani hari-hari seterusnya. Maknanya pada Syawal pun kita masih merasai nikmat beribadah seperti dirasai pada bulan Ramadan.

Tetapi ramai melepaskan pakaian takwanya ketika memasuki Syawal dan seterusnya tenggelam mengikut arus kecuali orang yang diberi cahaya petunjuk Allah.

Berhasilkah puasa membentuk keperibadian? Hal ini bergantung kepada sejauh mana kesungguhan seseorang menghiasi diri dengan pakaian takwanya atau dia mengganti pakaiannya itu dengan fesyen tidak diredai Tuhannya. Aduhai, alangkah ruginya manusia itu di dunia dan akhirat

No comments:

Post a Comment